29 November 2007

Anak Mengajar Bapa

Diriwayatkan semasa Abu Yazid Taifur b. Isa Surusyan Al Bustami (beliau adalah seorang sufi dilahirkan di bahagian timur laut Parsi. Beliau wafat di kota kelahirannya pada tahun 264 H bersamaan 877 M) masih kanak-kanak dan pada suatu malam bila ia terkejut dari tidurnya, ia melihat ayahnya sedang mengerjakan solat.
Bertanya ia kepada ayahnya, "Bagaimana cara untuk mengambil wuduk, tunjukilah aku, aku ingin solat bersama ayah."
Jawab ayahnya, "Wahai anakku ! Engkau masih kecil dan belum mengerti apa-apa lagi, adalah lebih baik engkau pergi masuk tidur dahulu."
"Baiklah ayah ! Tetapi di hari kiamat kelak ayah pasti tidak akan terlepas dari keputusan Allah." "Keputusan apa ?" Tanya ayahnya terpinga-pinga.
Balas anaknya, "Saya akan mengadu pada Allah, wahai Tuhanku ! aku meminta ayahku mengajari aku mengambil wuduk tetapi ia sebaliknya menyuruh aku agar menyambung tidur kembali kerana menyangkakan aku ini masih kecil lagi."
"Jangan nak, Demi Allah aku akan mengajar kamu cara berwuduk dan selepas itu kita akan menunaikan solat bersama-sama." Pintas ayahnya.

28 November 2007

Kisah Kenduri Part 2


Sambung cerita pasai kenduri. Walaupun kenduri tu hanyalah kenduri berkhatan, tapi jemputan seramai 1000 orang. Terlopong juga mulut aku bila abangku cakap macam tu.

Sedang menggoreng ayam berempah.



Kaum kerabatku



Orang kuat kenduri



Nasib baik ada pakcik makcik ni tolong basuh pinggan.



Nasi goreng untuk sarapan oleh Bang Din, chef dari utara.


Lepas sarapan,bersembang pasai kenduri.

Bila dah penat, bersantai tepi pantai sebelah chalet.

26 November 2007

Kisah Kenduri Part 1

Pada 24 Nov 2007 aku bertolak dari rumahku di Serkam, Melaka menuju ke Bagan Lalang di Sepang untuk ke rumah abangku yang mengadakan kenduri berkhatan anak lelakinya. Aku bersama isteri & anak bertolak pada pukui(pukul) 9.00 pagi. Perjalanan kali ini aku bercadang melalui jalan biasa tanpa melalui highway. Aku melalui Pantai Klebang, Sungai Udang, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Port Dickson, Lukut, Pekan Sepang, Sungai Pelek dan sampailah ke Bagan Lalang. Aku tiba dalam pukui 12.00 tgh.

Inilah tempat abangku tinggal & bertugas.(Camar Laut LKIM Bagan Lalang)


Sebahagian deretan chalet yang ada.

Oleh kerana rumah abangku telah sesak dengan keluarga mertuanya yang datang lebih awal, aku sekeluarga tinggal di chalet yang disediakan oleh abangku. Free je sebab abangku manager kat situ. Ketika aku tiba orang kampung dalam lingkungan 100 orang baru selesai 'rewang', maksudnya menolong menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. Mereka sedang makan tengahari. Aku pun tumpang sekali la makan,perut dah lapar.

Antara menu yang disediakan pada hari kenduri(ayam goreng,sambal petai udang,masak lemak cili api nanas+ikan kering)


Pencuci mulut istimewa(rojak buah utara)



Antara tetamu sedang mengambil hidangan.




Antara tetamu sedang menjamu selera di dalam dewan.

Balik Dahhh...

Tadi lebih kurang dalam pukui 3.15 petang,aku selamat kembali ke rumah setelah 3 hari 2 malam aku di Bagan Lalang.Fuuuh...penat la setelah menempuh perjalanan sejauh 170 km.Setelah mengangkat barang-barang dan makan nasi goreng bersama buah betik,aku pun merebahkan badan dan terus lena dengan sedapnya.Bila jaga dah pukui 5.45 ptg.Rasa letih menolong di kenduri rumah abang sulungku masih terasa...

23 November 2007

Bermusafirlah Aku



Esok, lusa dan tulat aku akan bermusafir ke sebuah tempat bernama Bagan Lalang yang terletak dalam daerah Sepang. Tujuan aku ke sana adalah kerana memenuhi jemputan abang sulungku yang berhajat membuat kenduri sempena berkhatannya anak lelaki beliau. Dah tu pulak mak ayah aku dari kedah pun akan pergi ke sana. Mengikut adat kenduri berkhatan di kawasan abang aku yang kebanyakannya orang tempatan di situ berketurunan jawa, kenduri khatan tu mcm kenduri kahwin. Meriah sungguh. Nampaknya tak dapat la aku berblogging dalam dua tiga hari ni.

22 November 2007

Halia Oh Halia



Jika tekak anda selalu mempunyai kahak,ambillah 1 inci halia dan tumbuk hingga lumat halia tersebut dan masukkan dalam 1/2 gelas air suam bercampur satu sudu teh gula. Kacau dan kemudian tapis. Minumlah air tadi setiap pagi berturut-turut. Insya-Allah kahak yang sentiasa ada di tekak anda akan hilang.

19 November 2007

Cerita Cuti

Bila tengok bebudak ni...teringat kisah aku 28 tahun dulu.
Haaaa.....ini la cerita musim cuti-cuti sekolah. Maka pada masa cuti sekolah ni la ramai bebudak lelaki dengan paksa relanya berkhatan atau masuk jawi cakap orang kedah. La ni senang je sebab khatan kat klinik atau hospital. Aku dulu khatan kat rumah dengan tok mudim, duduk atas batang pisang woooo...

18 November 2007

TIP SIHAT NABI S.A.W.

  1. Mandi pagi sebelum subuh boleh mengurangkan lemak berkumpul.
  2. Sujud 1 minit selepas solat subuh dapat mengelak daripada sakit kepala.
  3. Hisap hujung jari selepas makan membantu mencernakan makanan.
  4. Elakkan kombinasi makanan berikut: susu+daging, daging+ikan, ikan+susu, ayam+susu, ikan+telur, ikan+daun salad, susu+cuka, buah+susu(koktel) Kombinasi makanan tersebut akan menghasilkan tindakbalas biokimia yang akan merosakkan usus kita.(Pesanan dari sahabat saya)

17 November 2007

Hidup di dunia lebih selesa, di akhirat juga selamat

Di dunia, harta benda nadi kehidupan jasmani, manakala agama nadi kehidupan rohani. Mereka yang tidak berharta kehidupannya serba kekurangan, manakala yang tidak beragama berasa bebas ibarat dunia dan segala isinya mereka punya. Berharta tetapi tidak beragama menjadikan kehidupan porak-peranda, malah harta orang diragut menjadi hartanya, beragama tetapi tidak berharta pula menyukarkan tanggungjawab memakmurkan bumi. Sebaik-baiknya berharta dan beragama supaya hidup di dunia selesa, akhirat berjaya. Tidak dinafikan harta adalah keperluan, malah keutamaan dan rebutan manusia yang perlu dicari demi keselesaan hidup tetapi agama tidak seharusnya diketepikan kerana dengan garis panduan agama dapat menguruskan harta pada landasan selamat. Adalah menjadi sifat semula jadi manusia inginkan harta dan kasihkan harta, malah apabila diikutkan kehendak nafsu makin tidak puas dengan harta. Firman Allah bermaksud: "Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba." (al-Fajr: 20) Manusia berlumba menjana harta dan mengumpulkannya, sama ada melalui pekerjaan baik atau jahat seperti menipu, mencuri, merompak dan melalui kaedah riba. Harta diperoleh melalui sumber yang baik dipuji dan diredai tetapi cara salah dikeji dan dilaknati.

Harta perlu dicari dan diusahakan mengikut kemampuan kerana dengan harta membolehkan segala urusan disempurnakan termasuk untuk beribadat. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila berlaku kiamat dan di tangan kamu ada sepohon benih pokok kurma, jika dia berkuasa menanamnya janganlah bangkit sehingga menanamnya." (Hadis riwayat Ahmad) Bagi orang beriman, harta tidak lebih sebagai alat yang dipergunakan untuk mencapai kesejahteraan dan keredaan Pencipta tetapi kepada sesetengah yang lain harta ibarat tuan, dipuja setinggi-tingginya sehingga merendahkan martabat insani, malah menenggelamkan terus diri dalam keasyikannya. Harta bukanlah sesuatu yang jelek seperti dipandang sesetengah pihak, tidak juga sesuatu begitu mulia sehingga dimonopoli pihak tertentu, dijunjung dan diagung-agungkan, sebaliknya harta adalah keperluan untuk kelangsungan hidup semua pihak.
Bagi golongan beriman, mereka gigih mencari harta bukan kerana tamak tetapi atas kesedaran dan tanggungjawab. Apabila memperolehnya tidak melalaikan diri, sebaliknya semakin ramai mendapat manfaat dari hartanya, tidak sombong dan tidak berbangga. Andai kecundang mereka dapat bersabar.
Keadaan sebaliknya bagi golongan lain, mereka mengejar harta, kadangkala menggunakan cara bertentangan dengan nilai agama dan masyarakat. Apabila gagal memperolehnya mereka melenting, malah bertindak balas dengan pelbagai angkara dan jika dapat pula meninggi diri, semakin sayang kepada harta dan kedekut. Jika diperhatikan di sesetengah tempat, orang berharta bertambah hartanya dan orang miskin makin tiada harta, malah hendak makan pun terpaksa menonjolkan diri mendapatkan sumbangan ihsan. Jurang begitu besar di antara dua golongan ini, tetapi di Malaysia tidaklah sebegitu rupa. Islam melarang cara jahat mendapatkan harta. Riba jelas dilarang walaupun dipuji dan diperlukan sesetengah pihak, penipuan bukan saja satu kesalahan tetapi dikeji, manakala mencuri, meragut dan merompak adalah tabiat buruk menyusahkan orang lain.
Dalam pencarian harta, banyak jalan yang baik boleh dicuba dan diusahakan. Sekiranya disingkap kehidupan generasi dulu, ketika sains dan teknologi baru seperti komputer belum muncul, mereka masih mampu memperoleh harta dan hidup senang. Lihat kisah sahabat nabi seperti Abdul Rahman bin Auf, seorang hartawan yang memiliki banyak haiwan ternakan dan ladang hasil kegigihannya. Ketika itu tiadanya kepelbagaian peluang pekerjaan dan aplikasi secanggih hari ini, tetapi kekayaannya membanggakan umat Islam hingga tercatat dalam lipatan sejarah. Justeru, mengapa pada zaman serba canggih ini, ada berpendapat tiada jalan untuk mendapatkan harta dan hidup selesa? Mengapa sesetengahnya lebih senang berpeluk tubuh, tidak bekerja atau bekerja sambil lewa malah cepat melatah kononnya dunia ini bukan miliknya? Sesetengahnya pula berpendapat harta dicari belum mencukupi, malah berasakan makin dicari makin tidak mencukupi, sehingga kehidupan hariannya tidak memuaskan hatinya, lalu pihak lain dipersalahkan, manakala diri sendiri tidak pernah dipersalahkan.
Golongan ini beranggapan dirinya tiada kesilapan, sedangkan keadaan sebaliknya kerana harta yang diperoleh digunakan secara tidak cermat, wang dibelanjakan sesuka hati, malah melebihi kemampuan sehingga terpaksa berhutang. Sepatutnya mereka beringat ketika menggunakan harta. Ibarat kata pepatah ukur baju pada badan sendiri. Islam sentiasa memesan, bersederhana dalam serba-serbi hal keduniaan, termasuk berbelanja supaya hidup tidak diselubungi kekalutan.

15 November 2007

MAMPUKAH KITA BERSABAR SEPERTINYA?

Syeikh Abu Osman Al Hiri adalah seorang abid yang terkenal dengan kesabarannya. Beliau tidak pernah marah, merasa kecewa, putus asa dan apa saja yang menimpa keatas dirinya selama hayatnya. Kerana tidak percaya kepada akhlak Abu Osman yang tinggi itu, seorang lelaki telah mengundang beliau ke rumahnya untuk satu jamuan bagi mengujinya. Sebaik tiba di muka pintu rumah, Syeikh Abu Osman terus dihalau dengan berbagai cacian serta herdikan yang menghinakan. Namun Abu Osman tetap bersabar diatas apa yang berlaku dan beredar dari situ.

Hanya beberapa langkah ke hadapan, lelaki ini memanggil semula Abu Osman. Setelah itu dihalaunya semula seperti yang dilakukan di awalnya tadi. Demikianlah hal ini berulang sehingga 30 kali, namun ia sedikit pun tidak menunjukkan tanda marah. Akhirnya lelaki itu mengakui akan kesabaran Abu Osman, lalu ia segera memohon maaf darinya. Kata Abu Osman, “Apa yang aku lakukan ini adalah terlalu mudah, anjing pun boleh lakukan seperti apa yang aku buat. Cuba engkau perhatikan, jika dipanggil ia datang, jika dihalau ia pergi tanpa menunjukkan rasa marah, kecewa atau putus asa sedikit pun. Apalah ertinya kesabaranku ini jika ianya boleh dilakukan oleh seekor anjing yang tidak berakal.”

13 November 2007

Khasiat Air Beras


Setelah membasuh beras, air tersebut jangan dibuang kerana ia mempunyai khasiat yang berguna. Bagi anda yang mengalami tekanan darah tinggi, air beras basuhan yang pertama boleh diminum untuk mengurangkan tekanan darah. Minumlah sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Manakala air beras basuhan kedua pula boleh digunakan untuk membasuh muka agar kulit muka lebih licin dan lembut. Basuh muka setiap kali anda membasuh beras sambil berselawat. Amalkan sepanjang masa.

12 November 2007

Panggilan Haji

BERLEPAS... Sebahagian daripada bakal jemaah haji berjalan menuju pesawat untuk berlepas ke Madinah di KLIA, Sepang,semalam.

Moga selamat pi dan selamat balik dan mendapat haji yang mabrur. Bila pulak aku nak pi ni?....

11 November 2007

SELAMAT MENDUDUKI FINAL EXAM


Kepada geng-geng KSPK TMK IPPM aku, selamat menduduki peperiksaan akhir yang akan berlangsung pada 12 dan 13 November 2007. Aku doakan kita semua berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Anakku Bersukaneka

Inilah anak aku. Muhammad Rusyaidi namanya. Nama panggilan dia Awi. Dok tak dok dah 6 tahun umur anak aku. Ni la sorang-sorangnya anak aku (buat masa la ni). Gambar nie diambil pada hari sukaneka Tadika JAIM zon Merlimau yang diadakan di SK Sebatu. Sebelum hari sukaneka nie, Awi sibuk mintak belikan kasut sukan sebab dia nak lumba lari katanya. Aku pun ikutla cakap dia(maklumla anak sorang tu ja). Aku bersama isteri dan Awi pi la Pekan Merlimau menuju ke Pasaraya Ten Ten. Pusin punya pusin dalam pasaraya tu cari kasut. Dah jumpa tempat kasut maka bermula la episod cuba-mencuba nak cari saiz. Akhirnya dapat kasut yang sesuai warna coklat. Sengih memanjang anak aku….

Pada hari sukaneka aku pun hantaqla anak aku pi ke tadika dia sebab pelajar-pelajar tadika kena pi dengan cikgu dia. Ini untuk memudahkan urusan pihak tadika dalam penyediaan pelajar-pelajar untuk perbarisan. Aku dan isteri pi kemudian. Bila aku sampai kat tempat sukaneka, pelajar-pelajar tengah beratur untuk perbarisan. Aku dan isteri terjengah-jengah mencari mana la Awi. Puas cari pasai semua pelajar pakai t-shirt merah, dah tu pulak tak tau dok diam, sat toleh sini, sat toleh sana, tak dapat nak cam muka. Akhirnya nampak la anak aku pakai topi surat khabar cikgu dia buatkan.

Anakku berlari bawak baton. Laju lagi... laju lagi...

Awi punya la suka pasai ramai dapat kawan baru dan main. Budak-budak macam tu la. Kat rumah pun dia dok kawan dengan aku dan mak dia. Awi masuk macam-macam acara. Salah satu acara lari berganti bawa baton. Dia menang acara tu dan dapatla hadiah. Balik rumah kami tiga beranak punyala penat. Nasib baik sebelum balik rumah ada orang jemput makan kenduri kahwin. Sampai rumah terus ‘landing’ dan isteri aku lega tak payah susah-susah nak masak. Itulah alkisahnya anak aku pi sukaneka.

Pasai Apa Ni...

Jika anda mempunyai simptom-simptom tekanan anda bukanlah berseorangan di dunia ini yang menghadapi masalah seperti ini. Apabila anda selalu mengalami tekanan anda berkemungkinan besar akan mengalami sakit kepala, ulsers, insomnia (tak boleh tidur), keletihan, darah tinggi, sakit bahu dan berbagai jenis sakit yang disebabkan tekanan. Dalam kehidupan seharian, kita mengalami seribu macam keadaan di mana jantung kita berdegup dengan kuat, badan (terutama bahagian tangan) terasa sejuk, berpeluh dan otot menjadi tegang. Contohnya apabila kita diminta bercakap di khalayak ramai jika kita jadi gementar terutamanya jika kita jarang sekali berbuat demikian. Ini menjadi lebih teruk jika orang yang kita hadapi itu merupakan orang yang asing bagi kita.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan kerja. Antaranya ialah :
1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

10 November 2007

Berkelah di Lata Bayu, Baling


Baru-baru ni aku balik kg. Maklumla cuti. Bila dah balik kg tu maka teringinla pulak nak berendam dalam air. Maka aku pun contact adik-adik aku ajak depa pi mandi air terjun tak jauh dari rumah orang tua aku. Nama tempat Lata Bayu lebih kurang 30km dari rumah. Aku sampai dalam pukul 11.30 am. Orang dah penuh dan tempat strategik dah di'book'. Nak tak nak aku dan geng lepak la kat tempat yang kurang syok tapi okla untuk berendamdan selamat untuk anak-anak. Fuuuh...sejuknya...

Hutan Lipur Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim berada dalam Hutan Simpan Gunung Inas yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Hutan lipur ini juga dikenali sebagai tapak perkelahan Di Raja Kedah. Sungai Sedim yang mengalir sepanjang 15 km yang berarus deras serta mempunyai beberapa buah jeram sesuai untuk aktiviti berkayak. Di sini juga tempat berlangsungnya pertandingan kayak arus deras diperingkat antarabangsa. Antara aktiviti yang unik ialah mendaki gunung melalui denai hutan ke Gunung Inas, Gunung Bintang Utara, Gunung Bintang dan Banjaran Bintang.Antara tumbuhan utama di kawasan ini ialah Meranti seraya, Meranti tembaga, Meranti melantai, Kulim, Terap, Keledang dan Bintangor. Berbagai aktiviti boleh dijalankan disini seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan trekking serta bersiar-siar, berkayak, mendaki gunung dan melihat hidupan liar yang terdapat di sini. Hutan Lipur ini juga sesuai untuk beristirehat dan menikmati keindahan flora.Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Kulim atau Pekan Karangan ataupun Pekan Kuala Ketil.

Terletak 33 km dari Bandar Kulim, 130 dari Bandar Alor Setar di hubungi melalui jalan raya.

06 November 2007

Selamat Datang ke Blog TokMoh

Selamat melayari blog saya yang baru diwujudkan. Kewujudannya untuk memuatkan pelbagai kisah suka duka dan kerencaman kehidupan kita di mukabumi Allah ini. Sesamalah kita memeriahkan dunia blog untuk menghubungkan silaturahim.

:: TokMoh ::