23 February 2008

Dairi YB

Kepada sesiapa yang teringin nak jadi YB, hayatilah seni kata lagu di bawah ini.
Bangun pagi-pagi, Tamu dah menanti, Bukan nak cari kopi, Nak tanya pasal subsidi.
Hai belum sempat sarapan, Dah ada pulak panggilan, Kaum kerabat orang kanan, Nak mintak surat sokongan.
Jam baru pukul 8, YB kena lawat kawasan, Tapi di tengah jalan, Pemudi tahan mintak bantuan.
Disambut dengan kompang, Ayam itik pun banyaklah tumbang, Kemudian ditunjuk jalan berlubang, Suruh YB segera timbang.
Pada waktu tengah hari, Ada pulak jemputan kenduri, Kalau YB tak pergi, Silap-silap nanti kurang undi.
Hai dalam sibuk-sibuk, Orang sakit YB jenguk, Hai teruk ke tak teruk, Poket tetap YB kena seluk.
Ketika awal petang, Ada satu sidang, YB tak boleh tak datang, Takut nanti kerusi terbang.
Sebelum senja ke padang bola, YB dijemput sampaikan piala, Sambil tu mereka bertanya"Jersi baru kami hai macam mana".
Bila malam tiba, Ceramah jadi agenda, Kalau YB tak bersedia, Kena tanya mungkin ternganga.
Bila habis berceramah, Kampung lain YB singgah, Bukan sekadar menjengah, Tapi nak tinjau masalah.
Walau dah lenguh badan, YB balik ke cawangan, Di tanya orang harapan, Apakah strategi lawan.
Lewat malam di gerai tepi jalan, YB berembun melayan kawan-kawan, Dengar pendapat dengar pandangan, Sambil tu kena lah belanja makan.
Sewaktu YB balik, Burung hantu pun rasa pelik, Isteri sendiri pun dah tak larat celik, Anak-anak pulak dah lama tergolek.
Selepas YB mandi, YB belek itu dan ini, Kemudian picit-picit dahi sendiri, Cari jalan nak tolong Pemudi.Hingga dinihari YB tak tido lagi, Esoknya pagi-pagi, Dah ada tamu menanti "Assalamualaikum YB…

22 February 2008

Cendol/Cendoi


Inilah minuman kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia di musim panas dan kemarau sekarang ini, CENDOL/CENDOI. Boleh dikatakan di semua negeri di Malaysia ni senang untuk mendapatkannya. Cendol ini bertambah sedap kalau ditambah pulut.
Tambahan pula sekarang ini demam pilihanraya, lepas penat gantung bendera parti dan berkempen tentu tekak haus. Hilangkan haus anda dengan makan cendol. Di Jasin dekat Taman Maju ada satu gerai cendol, makan satu tambah percuma.

19 February 2008

Pemimpin

Umat Islam perlu mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan tersalah pilih pemimpin. Kemungkinan besar perkara ini terjadi kerana mereka mempunyai persepsi yang terpahat di minda bahawa kepemimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.

Islam yang dibawa Rasulullah lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, termasuk soal kepemimpinan, malah hampir seluruh ayat al-Quran mendahului ungkapan kepemimpinan dengan memberi seruan kepada orang beriman.
Justeru, jelaslah Islam sudah mencorakkan kepemimpinan sempurna yang sepatutnya diikuti dan diteladani dalam realiti kehidupan seharian.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 24-25: “Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Tuhan. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat dan mendapat pengajaran.”

Kesimpulannya, antara ciri-ciri pemimpin menurut acuan Islam yang mampu mencipta keunggulan ummah seperti:

Mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang mesti beriman kepada Allah dan bertakwa dalam segala tindak tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.
Berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan dan keupayaannya dalam menangani sesuatu isu dan kes serta mampu mengatasinya sebaik mungkin. Inilah ertinya dahan yang menjulang tinggi ke langit.

Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan program dan misi yang dirancangnya. Ini pula daripada erti buah yang segar.
Pemimpin berkenaan mesti sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa patuh dan tunduk kepada segala tuntutan Islam dan tidak pernah menyeleweng daripada landasan Islam yang lurus, malah dia sentiasa memohon pertunjuk Ilahi dan hidayah-Nya supaya sentiasa berada di bawah inayah dan riakyah- Nya.

Apakah acuan kepemimpinan yang dicorakkan Islam bagi melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab? Allah menjawab persoalan ini dengan memberi perumpamaan dan perbandingan cukup indah untuk sama-sama hayati dan diselami. Perumpamaan itu mengetengahkan beberapa ciri dan profil seorang pemimpin.

Perumpamaan itu menyingkap sebatang pohon yang baik dan tentu saja ia baik menurut kriteria Allah. Akarnya yang bertunjang kukuh di bumi adalah nilai, dasar, pandangan hidup, kerangka acuan dan pandangan dunia serta tempat pijakannya tetap utuh di bawah ketentuan dan hidayah Allah. Dahannya yang menjulang tinggi ke langit adalah kemampuan dinamiknya untuk menerima segala perubahan dan perkembangan.

Buah yang segar pula menggambarkan hasil dan natijahnya. Ia mampu memanfaatkan dan memberi faedah kepada kebanyakan manusia. Akhirnya, ia mencerminkan segala usaha dan tindakan sama sekali tidak akan membuahkan hasil berkualiti tanpa panduan Ilahi dan hidayah-Nya yang suci.

13 February 2008

Parlimen Dah Bubar

Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen dalam sidang akhbar di Putrajaya pada pukul 12.35 tengah hari tadi.
Pilihanraya tak lama lagi. Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari di Semenanjung Malaysia setelah parlimen dibubarkan. Kepada orang2 kuat semua parti politik, selamat berkempen dan kempenlah calon anda.
Kepada semua rakyat Malaysia, selamat bersiap sedia untuk mengundi. Pilihan ditangan anda. Tepuk dada tanya selera......

02 February 2008

Kulat Sisir

Gambar di bawah merupakan salah satu makanan yang mungkin kurang dikenali oleh kita semua. Kalau kita berasal dari kampung dan dikelilingi oleh pokok getah, biasalah melihatnya dan memakannya. Namanya kulat sisir.


Kulat sisir ni mudah tumbuh pada batang pokok getah yang telah mati. Masa kecik-kecik dulu, saya selalu mencarinya di gok, tempat membuat arang. Di kawasan gok ini, terdapat banyak timbunan batang pokok getah yang dikumpulkan menunggu masa untuk dibakar dijadikan arang. Kulat sisir ini hidup subur pada batang pokok getah yang telah mati dan kembang selepas hari hujan. Sekarang ni kulat sisir ada dijual di pasar tani. Kulat sisir ini sedap digoreng, dimasak kari atau masak lemak.Fuuhh...meleleh air liur dibuatnya. Kalau sesiapa nak cuba masak lemak, ini resepinya:

Bahan-bahan:
2 cawan santan daripada sebiji kelapa
1 batang serai
200g kulat sisir

Bahan kisar:
100g ikan bilis
10g serai
100g bawang kecil
5g bawang putih
20g cili padi
10g halia
20g cili merah
10g kunyit hidup

Cara membuat:
1. Masukkan santan ke dalam periuk.
2. Masukkan bahan kisar dan kacau rata di atas api sederhana.

3. Masukkan serai yang dititik dan kulat sisir, kacau rata dan biarkan mendidih. Apabila masak, angkat dan hidangkan.