19 February 2008

Pemimpin

Umat Islam perlu mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan tersalah pilih pemimpin. Kemungkinan besar perkara ini terjadi kerana mereka mempunyai persepsi yang terpahat di minda bahawa kepemimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.

Islam yang dibawa Rasulullah lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, termasuk soal kepemimpinan, malah hampir seluruh ayat al-Quran mendahului ungkapan kepemimpinan dengan memberi seruan kepada orang beriman.
Justeru, jelaslah Islam sudah mencorakkan kepemimpinan sempurna yang sepatutnya diikuti dan diteladani dalam realiti kehidupan seharian.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 24-25: “Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Tuhan. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat dan mendapat pengajaran.”

Kesimpulannya, antara ciri-ciri pemimpin menurut acuan Islam yang mampu mencipta keunggulan ummah seperti:

Mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang mesti beriman kepada Allah dan bertakwa dalam segala tindak tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.
Berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan dan keupayaannya dalam menangani sesuatu isu dan kes serta mampu mengatasinya sebaik mungkin. Inilah ertinya dahan yang menjulang tinggi ke langit.

Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan program dan misi yang dirancangnya. Ini pula daripada erti buah yang segar.
Pemimpin berkenaan mesti sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa patuh dan tunduk kepada segala tuntutan Islam dan tidak pernah menyeleweng daripada landasan Islam yang lurus, malah dia sentiasa memohon pertunjuk Ilahi dan hidayah-Nya supaya sentiasa berada di bawah inayah dan riakyah- Nya.

Apakah acuan kepemimpinan yang dicorakkan Islam bagi melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab? Allah menjawab persoalan ini dengan memberi perumpamaan dan perbandingan cukup indah untuk sama-sama hayati dan diselami. Perumpamaan itu mengetengahkan beberapa ciri dan profil seorang pemimpin.

Perumpamaan itu menyingkap sebatang pohon yang baik dan tentu saja ia baik menurut kriteria Allah. Akarnya yang bertunjang kukuh di bumi adalah nilai, dasar, pandangan hidup, kerangka acuan dan pandangan dunia serta tempat pijakannya tetap utuh di bawah ketentuan dan hidayah Allah. Dahannya yang menjulang tinggi ke langit adalah kemampuan dinamiknya untuk menerima segala perubahan dan perkembangan.

Buah yang segar pula menggambarkan hasil dan natijahnya. Ia mampu memanfaatkan dan memberi faedah kepada kebanyakan manusia. Akhirnya, ia mencerminkan segala usaha dan tindakan sama sekali tidak akan membuahkan hasil berkualiti tanpa panduan Ilahi dan hidayah-Nya yang suci.

1 comments:

Anonymous said...

"Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan program dan misi yang dirancangnya." Ini pula daripada erti buah yang segar.
Rasanya kriteria ini sukar nak nampak kat bulan sana..Wang dan tenaga sudah banyak dihabiskan, namun hasilnya masih tidak kelihatan..Entah-entah pokok yang dibaja sudah dililit pokok api-api...Menghisap semua baja yg ditabur..