17 June 2008

Kelantan Ada Minyak?

24 May 2008

PELIK TAPI BENAR

Pada 16 Mei yang lalu, PM telah mengumumkan Hadiah Hari Guru kepada semua guru terutama guru-guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama. Kini golongan ini dikenali DG2941. Namun hadiah itu tidak menyelesaikan masalah guru-guru DG2941 yang kini gajinya jauh lebih rendah dibandingkan dengan rakan setugas DG29 yang dilantik ke DG32 tanpa perlu mendapatkan ijazah pertama. Lihatlah perbandingan di bawah:
Guru A (DG 29 KE 32)
Lantikan pertama : 01.01.1995
Time-based DG32 : 01.01.2005 (RM2416.06)
2006 (RM2514.37)
2007 (RM2612.68)
2008 (RM2710.99)
2009 (RM2803.30)
2010 (RM2907.61)
2011 (RM3005.92)
Guru B (DG 29 KE 41)
Lantikan pertama : 01.01.1995
Lantikan DG41 : 2004 (RM1710.60)
9 tahun DG29 = 3 tahun DG41
2004, 2005, 2006, 2007, 2008 = Sudah 5 tahun berada di DG41
3 + 5 = 8 tahun.
Lagi 2 tahun untuk layak ke DG44 secara Time-based.
2009 (RM2509.90)
2010 (RM2600.35)
2011 – Layak DG44 secara Time-based P1T1 (RM2982.99)
Walaupun naik ke DG44, lihatlah sendiri perbezaan gaji guru A dan guru B pada tahun 2011.

Ini tidak mengambil kira bahawa guru A sebenarnya sedang menunggu untuk dilantik ke DG41.
ADUHAI....APALAH NASIBMU WAHAI GURU-GURU DG2941....
WANG PULUHAN RIBU TELAH DIHABISKAN UNTUK MENGGENGGAM SEGULUNG IJAZAH....
MASA PULUHAN RIBU JAM JUGA TELAH DIHABISKAN UNTUK MENELAAH PELAJARAN....
KINI....KAU JUGA KETINGGALAN DIBELAKANG KAWANMU YANG SAMA-SAMA MENJEJAK KAKI MENJADI GURU TETAPI TIDAK MENJEJAK KAKI KE MENARA GADING......................

18 May 2008

Tali Pinggang Belakang


السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Kempen pemakaian tali pinggang belakang bermula Jun hingga Ogos 2008. Penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar akan hanya diberi nasihat dan amaran.


Mulai September 2008, penguatkuasaan peraturan bermula dan saman akan dikenakan kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, tetapi kadarnya belum ditetapkan kerana masih pada peringkat rundingan. Bagi kes jika terdapat penumpang keempat pula, tindakan tidak akan diambil terhadap penumpang tersebut memandangkan hanya terdapat tiga set tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang. Penguatkuasaan peraturan baru itu tidak tertakluk kepada kenderaan yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 1995 dan kereta Perodua Kancil serta Kenari yang dikeluarkan pada pertengahan 1998 hingga 2004.


TETAPI, kenapakah peraturan ini hendak dilaksanakan dalam tempoh terdekat?Dah tu pula ada kenderaan yang kena dan ada yang tak kena. Apa salahnya bagi masa tiga tahun untuk semua kenderaan, tidak kira samada mereka ada atau tidak tali pinggang keledar belakang? Tiga tahun untuk mendidik dan membiasakan diri, rasanya tidak keterlaluan permintaan itu berbanding berpuluh tahun kita tidak mempunyai peraturan itu langsung.


Wallahua'lam.

07 May 2008

HAJI DAN UMRAH (Bahagian 3)

SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI DAN UMRAH:
ISLAM, TIDAK WAJIB BAGI YANG BUKAN ISLAM.
BALIGH, TIDAK WAJIB BAGI YANG BELUM BALIGH.
BERAKAL, TIDAK WAJIB BAGI YANG TIDAK SIUMAN.
MERDEKA, TIDAK WAJIB KE ATAS HAMBA.
BERKUASA , TIDAK WAJIB KE ATAS MEREKA YANG TIDAK MAMPU.




06 May 2008

HAJI DAN UMRAH (Bahagian 2)

KELEBIHAN HAJI DAN UMRAH

KELEBIHAN MENUNAI HAJI:
1. HAJI YANG MABRUR TIADA BALASAN MELAINKAN SYURGA.
2. DI ANTARA JIHAD YANG PALING UTAMA .

3. BERSIH SEPERTI BAYI YANG BARU DILAHIRKAN.
4. MENJADI TETAMU AGONG KEPADA ALLAH.
5. MENDAPAT BAHAGIAN DI DALAM DOA KEAMPUNAN OLEH RASULULLAH.

KELEBIHAN MENUNAI UMRAH :
1. MENDAPAT GANJARAN PENGAMPUNAN DOSA.
2MENJADI TETAMU AGONG KEPADA ALLAH.

MANFAAT-MANFAAT DUNIAWI:
1. PERTEMUAN ORANG-ORANG ISLAM SELURUH DUNIA
2. KEPENTINGAN PERNIAGAAN DAN EKONOMI
3. MENUNJUKKAN PERSAMAAN DI KALANGAN ORANG-ORANG ISLAM

MANFAAT-MANFAAT UKHRAWI:
1. KEM LATIHAN PENUMPUAN KEPADA IBADAT
2. KEM LATIHAN MEMBENTUK KEPERIBADIAN MUSLIM
3. LATIHAN SUPAYA BERSEDIA UNTUK MENINGGALKAN ALAM DUNIA
4. MENDAPAT GANJARAN PAHALA MELIHAT KAABAH
5. MELATIH DIRI SUPAYA MENGIKHLASKAN AMALAN HANYA KERANA ALLAH SWT
6. MENDAPAT PUJIAN ALLAH SWT DI HADAPAN MALAIKAT
7. MENDAPAT HAJI MABRUR

TINGKATAN IBADAT HAJI:

HAJI MARDUD
1. HAJI YANG TIDAK DI TERIMA KERANA KEKURANGAN SYARAT – SYARAT DAN RUKUNNYA ATAU SEBAB – SEBAB YANG LAIN.

HAJI MAQBUL
HAJI YANG SAH IAITU TELAH MELAKSANAKAN PERINTAH ALLAH TANPA DIBERI GANJARAN DAN PAHALA.

HAJI MAKHSUS
HAJI YANG SAH DAN DIAMPUNKAN SEGALA DOSA-DOSANYA SEPERTI SABDA NABI S.A.W. YANG DIRIWAYATKAN OLEH BUKHARI, IBNU MAJAH, DAN AL-NASAI DAN AHMAD, DARIPADA ABU HURAIRAH, YANG BERMAKSUD :-“SESIAPA YANG MENUNAIKAN IBADAT HAJI, TIDAK IA MELAKUKAN KEBURUKKAN DAN KEKEJIAN, MAKA KEMBALILAH IA SEPERTI HARI IA DILAHIRKAN OLEH IBUNYA”

HAJI MABRUR
INILAH TINGKATAN HAJI YANG PALING TINGGI DAN ISTIMEWA, DIAMPUN SEGALA DOSANYA, IA JUGA AKAN DI MASUKKAN KE DALAM SYURGA.

03 May 2008

HAJI DAN UMRAH (Bahagian 1)

PENGERTIAN HAJI

HAJI PADA SYARA’ IALAH MENGUNJUNGI BAITULLAH AL-HARAM (KAABAH) DALAM BULAN-BULAN HAJI (DARI 1 SYAWAL HINGGA 10 ZULHIJJAH) KERANA MENGERJAKAN TAWAF, SA’IE DAN WUKUF DI ARAFAH MENURUT SYARAT-SYARAT DAN RUKUN-RUKUNNYA SERTA MENUNAIKAN SEGALA WAJIBNYA.

PENGERTIAN UMRAH

UMRAH PADA SYARA’ IALAH MENZIARAHI BAITULLAH AL-HARAM KERANA MENGERJAKAN TAWAF, SA’IE DENGAN MENURUT SYARAT-SYARATNYA SERTA MENUNAIKAN SEGALA WAJIBNYA.

SEJARAH RINGKAS HAJI

A. SEJARAH RINGKAS HAJI SEBELUM RASULULLAH:
1. BANGSA JIN.
MAKHLUK ALLAH S.W.T YANG MULA-MULA HIDUP DI ATAS MUKA BUMI IALAH BANGSA JIN. ALLAH S.W.T MEMERINTAHKAN KEPADA MEREKA DENGAN HUKUM-HUKUM TERTENTU, TERMASUKLAH HAJI. SEBALIKNYA MEREKA MEMBUAT KEROSAKAN YANG AMAT SANGAT, LALU ALLAH MENGUTUSKAN AZAZIL DAN TENTERANYA DI KALANGAN MALAIKAT UNTUK MEMERANGI MEREKA. KEMUDIAN MALAIKAT PULA MENGAMBIL ALIH KHALIFAH DI ATAS MUKA BUMI.
2.PARA MALAIKAT.
SETELAH MALAIKAT MENGAMBIL ALIH KHALIFAH DI ATAS MUKA BUMI. ALLAH S.W.T PERINTAHKAN KEPADA MEREKA HUKUM-HUKUM TERTENTU.
3.MANUSIA.
SETELAH SEKIAN LAMA MALAIKAT MEMERINTAH DI MUKA BUMI, ALLAH S.W.T MEMILIH PULA MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH. ADAM DAN HAWA DITURUNKAN KE DUNIA DAN DIPERINTAH KEPADA MEREKA DENGAN HUKUM-HUKUM TERTENTU TERMASUKLAH HAJI. MANUSIA YANG PERTAMA MELAKSANAKAN HAJI DAN TAWAF IALAH NABI ADAM DAN ISTERINYA HAWA. KEMUDIAN SETERUSNYA PARA AMBIAK, MURSALIN DAN ORANG-ORANG DI ZAMAN MASING-MASING.

B.SEJARAH HAJI DI BAWAH SYARIAT RASULULLAH:
1. HAJI TELAH DIWAJIBKAN PADA TAHUN KE-5 HIJRAH.
2. PADA TAHUN KE-6 HIJRAH, RASULLULLAH S.A.W MENGERJAKAN UMRAH DAN DISERTAI OLEH 1500 ORANG PARA SAHABAT TETAPI ROMBONGAN INI TERTAHAN DI HUDAIBIYAH.
3. PADA TAHUN KE-7 HIJRAH, MEREKA MEMBUAT UMRAH QADA
4. PADA TAHUN KE 10 HIJRAH, RASULULLAH S.A.W TELAH MENGISYTIHARKAN UNTUK MENUNAIKAN FARDU HAJI.
5. PADA 25 ZULKAEDAH TAHUN 10 HIJRAH, RASULULLAH DENGAN ISTERI-ISTERI BAGINDA TELAH MEMULAKAN PERJALANAN DAN DIIKUTI OLEH 120,000 ORANG PARA SAHABAT. HAJI TERSEBUT DIKENALI SEBAGAI HAJI WADA.

DALIL WAJIB HAJI

ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا ومن كفر فإن الله غنى عن العالمين

MAKSUDNYA:
“DAN ALLAH MEWAJIBKAN MANUSIA MENGERJAKAN IBADAT HAJI DENGAN MENGUNJUNGI BAITULLAH, IAITU SESIAPA YANG MAMPU DAN BERKUASA SAMPAI KEPADANYA. DAN SESIAPA YANG KUFUR (INGKARKAN UNTUK IBADAT HAJI) MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA (TIDAK BERHAJAT KEPADA SESUATU PUN) DARI SEKELIAN MAKHLUK”.
SURAH ALI IMRAN : AYAT 97

وأتموا الحج والعمرة لله

MAKSUDNYA:
“DAN TUNAIKANLAH HAJI DAN UMRAH KERANA ALLAH TAALA”.
SURAH AL-BAQARAH : AYAT 196

07 April 2008

RASUAH


  • Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

    Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :
    “ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.
    Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
    “Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
    Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

    Antara punca berlakunya rasuah ialah :
  • Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa.
  • Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.
  • Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.
  • Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah.
  • Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

17 March 2008

Pembawa Rahmat Sekalian Alam

Tarikh 12 Rabiulawal bakal menjelang tiba. Tarikh ini menjadi ingatan bagi semua umat Islam kerana tarikh inilah lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran Baginda membawa rahmat ke sekalian alam sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
Selamat Menyambut Maulidur Rasul.

11 March 2008

Apa Akan Jadi?.........

Aku terkejut membaca berita ini dalam Utusan Online sebentar tadi. Apa akan jadi pada bangsaku dan bumiputera di Penang setelah kerajaan negeri yang baru di bawah pimpinan DAP&PKR mengumumkan berita di bawah ini? Adakah hak istimewa bangsaku sebagai tuan tanah dan penduduk asal di negara yang tercinta ini akan terus tergugat?....
Pulau Pinang bebas DEB - Guan Eng
11/03/2008 8:59pm

PULAU PINANG 11 Mac – Hanya beberapa jam selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pu lau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan campuran DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mentadbir negeri itu bebas daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beliau dakwa akan mewujudkan kronisme, amalan rasuah dan sistem yang tidak cekap.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Menteri, beliau berkata, kerajaan negeri baru itu akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua pemerolehan dan kontrak kerajaan.
DEB menekankan pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula ekonomi untuk menghapuskan pengenalan etnik dengan fungsi ekonomi.
Dasar itu, yang dilaksanakan pada 1971, juga mengandungi pengagihan kekayaan dan tindakan teguh untuk orang Melayu dan Bumiputera bagi memperoleh sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kekayaan negara.
Berikutan kenyataan Guan Eng itu, beliau ditanya mengenai hak-hak orang Melayu dan jawabnya: ``Nasib semua bangsa dan untung nasib mereka adalah sama.
``Saya tak mahu cakap tentang nasib golongan itu atau golongan ini kerana nasib kita semua adalah sama dan hala tuju kita juga adalah sama."
— BERNAMA.
Bagiku, mana boleh nasib tuan tanah tak ada keistimewaan!!!

08 March 2008

Berbuat Baik & Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.
(Riwayat Muslim)
Huraian:
  1. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
  2. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
  3. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
  4. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

23 February 2008

Dairi YB

Kepada sesiapa yang teringin nak jadi YB, hayatilah seni kata lagu di bawah ini.
Bangun pagi-pagi, Tamu dah menanti, Bukan nak cari kopi, Nak tanya pasal subsidi.
Hai belum sempat sarapan, Dah ada pulak panggilan, Kaum kerabat orang kanan, Nak mintak surat sokongan.
Jam baru pukul 8, YB kena lawat kawasan, Tapi di tengah jalan, Pemudi tahan mintak bantuan.
Disambut dengan kompang, Ayam itik pun banyaklah tumbang, Kemudian ditunjuk jalan berlubang, Suruh YB segera timbang.
Pada waktu tengah hari, Ada pulak jemputan kenduri, Kalau YB tak pergi, Silap-silap nanti kurang undi.
Hai dalam sibuk-sibuk, Orang sakit YB jenguk, Hai teruk ke tak teruk, Poket tetap YB kena seluk.
Ketika awal petang, Ada satu sidang, YB tak boleh tak datang, Takut nanti kerusi terbang.
Sebelum senja ke padang bola, YB dijemput sampaikan piala, Sambil tu mereka bertanya"Jersi baru kami hai macam mana".
Bila malam tiba, Ceramah jadi agenda, Kalau YB tak bersedia, Kena tanya mungkin ternganga.
Bila habis berceramah, Kampung lain YB singgah, Bukan sekadar menjengah, Tapi nak tinjau masalah.
Walau dah lenguh badan, YB balik ke cawangan, Di tanya orang harapan, Apakah strategi lawan.
Lewat malam di gerai tepi jalan, YB berembun melayan kawan-kawan, Dengar pendapat dengar pandangan, Sambil tu kena lah belanja makan.
Sewaktu YB balik, Burung hantu pun rasa pelik, Isteri sendiri pun dah tak larat celik, Anak-anak pulak dah lama tergolek.
Selepas YB mandi, YB belek itu dan ini, Kemudian picit-picit dahi sendiri, Cari jalan nak tolong Pemudi.Hingga dinihari YB tak tido lagi, Esoknya pagi-pagi, Dah ada tamu menanti "Assalamualaikum YB…

22 February 2008

Cendol/Cendoi


Inilah minuman kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia di musim panas dan kemarau sekarang ini, CENDOL/CENDOI. Boleh dikatakan di semua negeri di Malaysia ni senang untuk mendapatkannya. Cendol ini bertambah sedap kalau ditambah pulut.
Tambahan pula sekarang ini demam pilihanraya, lepas penat gantung bendera parti dan berkempen tentu tekak haus. Hilangkan haus anda dengan makan cendol. Di Jasin dekat Taman Maju ada satu gerai cendol, makan satu tambah percuma.

19 February 2008

Pemimpin

Umat Islam perlu mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan tersalah pilih pemimpin. Kemungkinan besar perkara ini terjadi kerana mereka mempunyai persepsi yang terpahat di minda bahawa kepemimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.

Islam yang dibawa Rasulullah lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, termasuk soal kepemimpinan, malah hampir seluruh ayat al-Quran mendahului ungkapan kepemimpinan dengan memberi seruan kepada orang beriman.
Justeru, jelaslah Islam sudah mencorakkan kepemimpinan sempurna yang sepatutnya diikuti dan diteladani dalam realiti kehidupan seharian.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 24-25: “Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Tuhan. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat dan mendapat pengajaran.”

Kesimpulannya, antara ciri-ciri pemimpin menurut acuan Islam yang mampu mencipta keunggulan ummah seperti:

Mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang mesti beriman kepada Allah dan bertakwa dalam segala tindak tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.
Berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan dan keupayaannya dalam menangani sesuatu isu dan kes serta mampu mengatasinya sebaik mungkin. Inilah ertinya dahan yang menjulang tinggi ke langit.

Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan program dan misi yang dirancangnya. Ini pula daripada erti buah yang segar.
Pemimpin berkenaan mesti sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa patuh dan tunduk kepada segala tuntutan Islam dan tidak pernah menyeleweng daripada landasan Islam yang lurus, malah dia sentiasa memohon pertunjuk Ilahi dan hidayah-Nya supaya sentiasa berada di bawah inayah dan riakyah- Nya.

Apakah acuan kepemimpinan yang dicorakkan Islam bagi melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab? Allah menjawab persoalan ini dengan memberi perumpamaan dan perbandingan cukup indah untuk sama-sama hayati dan diselami. Perumpamaan itu mengetengahkan beberapa ciri dan profil seorang pemimpin.

Perumpamaan itu menyingkap sebatang pohon yang baik dan tentu saja ia baik menurut kriteria Allah. Akarnya yang bertunjang kukuh di bumi adalah nilai, dasar, pandangan hidup, kerangka acuan dan pandangan dunia serta tempat pijakannya tetap utuh di bawah ketentuan dan hidayah Allah. Dahannya yang menjulang tinggi ke langit adalah kemampuan dinamiknya untuk menerima segala perubahan dan perkembangan.

Buah yang segar pula menggambarkan hasil dan natijahnya. Ia mampu memanfaatkan dan memberi faedah kepada kebanyakan manusia. Akhirnya, ia mencerminkan segala usaha dan tindakan sama sekali tidak akan membuahkan hasil berkualiti tanpa panduan Ilahi dan hidayah-Nya yang suci.

13 February 2008

Parlimen Dah Bubar

Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen dalam sidang akhbar di Putrajaya pada pukul 12.35 tengah hari tadi.
Pilihanraya tak lama lagi. Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari di Semenanjung Malaysia setelah parlimen dibubarkan. Kepada orang2 kuat semua parti politik, selamat berkempen dan kempenlah calon anda.
Kepada semua rakyat Malaysia, selamat bersiap sedia untuk mengundi. Pilihan ditangan anda. Tepuk dada tanya selera......

02 February 2008

Kulat Sisir

Gambar di bawah merupakan salah satu makanan yang mungkin kurang dikenali oleh kita semua. Kalau kita berasal dari kampung dan dikelilingi oleh pokok getah, biasalah melihatnya dan memakannya. Namanya kulat sisir.


Kulat sisir ni mudah tumbuh pada batang pokok getah yang telah mati. Masa kecik-kecik dulu, saya selalu mencarinya di gok, tempat membuat arang. Di kawasan gok ini, terdapat banyak timbunan batang pokok getah yang dikumpulkan menunggu masa untuk dibakar dijadikan arang. Kulat sisir ini hidup subur pada batang pokok getah yang telah mati dan kembang selepas hari hujan. Sekarang ni kulat sisir ada dijual di pasar tani. Kulat sisir ini sedap digoreng, dimasak kari atau masak lemak.Fuuhh...meleleh air liur dibuatnya. Kalau sesiapa nak cuba masak lemak, ini resepinya:

Bahan-bahan:
2 cawan santan daripada sebiji kelapa
1 batang serai
200g kulat sisir

Bahan kisar:
100g ikan bilis
10g serai
100g bawang kecil
5g bawang putih
20g cili padi
10g halia
20g cili merah
10g kunyit hidup

Cara membuat:
1. Masukkan santan ke dalam periuk.
2. Masukkan bahan kisar dan kacau rata di atas api sederhana.

3. Masukkan serai yang dititik dan kulat sisir, kacau rata dan biarkan mendidih. Apabila masak, angkat dan hidangkan.

30 January 2008

Jaga Bateri Kereta Anda

Bateri merupakan salah satu komponen kereta yang penting. Jika bateri kereta anda lemah atau rosak, kereta anda tidak boleh dihidupkan dalam keadaan biasa.




Periksa bateri jika terdapat tanda-tanda kerosakan seperti retak, bocor, karat, penutupnya hilang, kepala longgar dan sebagainya. Jika terdapat kesan debu putih dibahagian terminal, dan air baterinya cepat kering, kemungkinan kuasa yang disalurkan kepada bateri itu terlalu tinggi. Bila keadaan ini berlaku, perlulah ia diperbaiki dengan secepat mungkin, untuk mengelakkan kerosakan teruk pada bateri. Kesan-kesan bocor dapat diketahui jika terdapat disekitar dan bawah bateri berdebu garam putih kehijauan.

Periksa paras air bateri sekurang-kurangnya seminggu sekali. Perkara ini pada kebiasaannya dilakukan oleh pekerja stesen pam minyak. Jika airnya kurang, tambah dengan air bateri (distilled water). Walau bagaimanapun jangan bubuh airnya berlebihan dari paras yang ditentukan sebab ini akan menyebabkan air bateri itu melimpah dan mungkin menyebabkan kerosakan selanjutnya kepada bahagian-bahagian besi. Untuk panduan anda, isi air itu sehingga bahagian hitam didalam bateri sahaja yang ditenggelami air.

Sekiranya terdapat kesan kesan debu garam putih dikedua-dua terminal bateri, bersihkan dengan menggunakan bancuhan natrium karbonat (serbuk penaik - baking powder) dengan sukatan satu sudu teh serbuk dalam satu cawan air. Bancuhan ini dibubuh atas terminal bateri dan ia akan berbuih. Buih-buih ini akan berhenti bila ia sudah bersih. Seterusnya bilas dengan air sejuk biasa. Kuatkan ikatan kepala bateri jika perlu dengan rapi.
Kuatkan kuasa bateri menggunakan battery charger jika perlu. Elakkan diri dari menggunakan ubat-ubat bateri yang terdapat dikedai. Bahan-bahan ini biasanya diakui boleh menguatkan bateri, tapi sebenarnya perbuatan ini sia-sia sahaja.Air bateri yang dijual dikedai adalah dari jenis air sulingan (distilled water), tapi bila diisi dalam bateri ia akan bercampur dengan air bateri dan seterusnya menjadi cecair asid sulfurik. Jadi elakkan asid ini dari terkena pakaian atau kulit anda. Jangan sesekali tambahkan asid sulfurik kedalam bateri.

27 January 2008

Apa Erti Kod Pada Sisi Tayar Kenderaan Kita?



Kadang kala kita terleka dan tidak mengambil kira dalam membeli tayar kenderaan kita, ia boleh mengakibatkan kemalangan atau ketidaksuaian dengan kenderaan kita, cuba kita perhatikan dan renungan sejenak mengenai kod atau simbol yang terdapat di bahagian sisi tayar kenderaan kita....

Contoh maklumat pada permukaan sisi tayar : 175/70R13/82H -


lebar permukaan bawah tayar : 175 mm - lebar permukaan sisi tayar : 70 mm - jejari : R - diameter rim : 13 inchi - indeks muatan & symbol kelajuan : 82H • indeks muatan 82 = tayar itu boleh menampung muatan 475 kg • indeks muatan 71 = 345 kg • indeks muatan 125 = 1,677 kg • simbol H = kelajuan maksimum dgn tayar tersebut ialah 210 km/h


SENARAI KOT: S - 180 km/j T - 190 km/j U - 200 km/j H - 210 km/j V - 240 km/j Z - melebihi had laju 240 km/j W - 270 km/j Y - 300 km/j ZR - untuk tayar yang mengatasi kelajuan 270 km/j keatas TREADWEAR 240 TRACTION A TEMPERATURE A 1905 - kadar kehausan bunga tayar : 240 (semakin tinggi nilai, semakin lambat haus) - kekuatan cengkaman tayar : TRACTION A (paling bagus AA diikuti A, B & C)

-ketahanan suhu : TEMPERATURE A • A : kawasan panas • B : kawasan bercuaca normal • C : kawasan sejuk - tarikh pembuatan : 1905 • dua no pertama = minggu keberapa dibuat (dari minggu 1 – 52) jika 19 maka tayar itu dibuat pada minggu ke-19 atau minggu ke-2 bulan mei. • Dua no terakhir = tahun ia dibuat. Jika 05 maka dibuat pada 2005


*Sumber Harian Metro

20 January 2008

Bubur Asyura

Bubur Asyura Kedah

Bubur Asyura Melaka

Inilah dia bubur asyura yang dimasak oleh kebanyakan umat Islam bila tibanya 10 Muharram. Kali ini TokMoh menunjukkan 2 versi bubur asyura iaitu satu dari Kedah di mana bubur asyura ini boleh dipotong manakala satu lagi dari Melaka yang tak boleh dipotong. Kedua-duanya sedap. Selamat menjamu selera.

16 January 2008

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Muharram

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.

14 January 2008


Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun.

Menurut beliau, ketika hilang, mangsa yang mempunyai tiga adik-beradik memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.

07 January 2008

Tak Nak Sekolah...

Pada 3.1.08, bermulalah sesi persekolahan 2008. Untuk semua guru, selamat kembali bertugas. Kepada semua pelajar, selamat kembali ke sekolah.
Tapi bila terpandang gambar kat atas tu, kesian budak tu nangis bawah meja. Ini kes tak nak sekolah. Maklumla darjah 1. Macam-macam perangai. Ada yang mak bapak kena tunggu kat bilik darjah, ada yang buat kelas macam rumah dia dan macam-macam perangai yang tak disangka. Itulah namanya budak-budak yang baru masuk sekolah. Budak yang nangis kat atas tu mungkin tak pernah pergi tadika. Kesian dia, cikgunya pulak dah tak larat nak pujuk.
Apa-apa pun, selamat bersekolah dan jadilah modal insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

02 January 2008

Susu Oh Susu

Satu hari tu, aku bawa anak isteriku ke Zoo Melaka dan terpandanglah aksi minum susu. Susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium. Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga.

Semua nutrien ini penting untuk satu atau lebih jenis fungsi. Bagaimanapun, kandungan kalsium yang terdapat dalam susu menjadikannya istimewa.

Kalsium diperlukan untuk pelbagai proses tubuh badan yang penting, umpamanya aliran saraf, pengawalan denyutan jantung, pengecutan otot dan penyembuhan luka. Apa yang juga perlu diketahui ialah apabila kalsium bergabung dengan protein, vitamin D, fosforus dan magnesium, ia akan membantu membentuk tulang dan gigi yang kuat.

Setiap orang memerlukan kalsium sepanjang hayat. Mengikut kajian, kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak kalsium per setiap unit berat badan jika dibandingkan dengan orang dewasa. Kekurangan kalsium pada peringkat umur ini akan menghalang kanak-kanak daripada mencapai ketumpatan tulang maksimum (atau dikenali sebagai ‘peak bone mass’). Ini boleh meningkatkan risiko terhadap osteoporosis (penyakit tulang rapuh) di kemudian hari.